24 March 2013

Kejohanan Gusti Wanita Dunia di Malaysia dibatalkan (1988)

Akhbar tempatan pada 1988 melaporkan bahawa Kejohanan Gusti Wanita Dunia bakal diadakan di Stadium Negara, Kuala Lumpur, pada 7 & 8 November tahun tersebut. Perlawanan gusti itu dirancang oleh Az Media Communications yang juga merupakan penyelaras penerbitan majalah Dunia Gusti. Seramai 12 orang penggusti wanita dari kelab-kelab gusti antarabangsa akan terlibat dalam perlawanan tersebut. Walau bagaimanapun, Kejohanan Gusti Wanita Dunia yang julung kali dianjurkan itu tidak berjaya diadakan apabila ia dibatalkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Menurut Az Media Communications - seperti yang disiarkan dalam majalah Dunia Gusti keluaran Disember 1988 - "Perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir kerana sebab-sebab teknikal yang sukar diterima akal pemikiran yang waras dan matang". Menurut syarikat itu lagi, "Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar liberal tidak dapat menerima erti kenyataan tersebut, hanya berdasarkan kepada implikasi yang belum tentu diperkatakan atau disuarakan oleh mana-mana pihak yang kontra kepada pertunjukan tersebut".

F.L.A.I.R
5 Nov 1988
(Sabtu)
Akhbar New Straits Times pada November 1988 melaporkan bahawa kesemua 12 orang penggusti wanita itu hanya berjaya sampai ke Singapura tetapi tidak dibenarkan untuk memasuki Malaysia ("12 women wrestlers - entry still not approved"). Seorang lagi wartawan pula mempersoalkan rasional di sebalik pembatalan perlawanan tersebut sedangkan dalam masa yang sama stesen televisyen milik kerajaan iaitu RTM2 tidak menghadapi sebarang masalah dalam menyiarkan rancangan perlawanan gusti wanita yang berjudul F.L.A.I.R pada setiap minggu, yang sudah tentunya dapat ditonton oleh orang ramai tanpa halangan ("Women wrestling series on RTM2 contradicts government ban on the performers).

Nota tambahan:
  • Perlawanan gusti oleh para penggusti antarabangsa telah banyak kali diadakan di Malaysia, antara yang terawal ialah pada 13 Jun 1971 di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Perlawanan tersebut membabitkan penggusti seperti 'Killer' Kowalski, 'Bulldog' Bob Brown, 'Tiger' Jeet Singh, Mr. Fuji, King Kurtis, Mark Lewin, Spiron Asrion dan Dino Lanza.
  • Antara penggusti wanita yang pernah ditampilkan dalam rancangan F.L.A.I.R pada 1988 ialah Devila, Miss Linda, Katie Kincaid, Athena, Blue Maxi, Viking Princess, Randy Rocket dan Sunset Rose.

2 comments:

Hayrin Matahir said...

Tak sangka ada juga siaran sukan gusti di TV2 selepas jam 11.00 malam lewat 80-an. Saya umur dua tahun waktu itu. Siaran TV2 RTM masa ini jarang-jarang dorang bukak. Tak silap rancangan ini ditaja syarikat rokok, kan?

Anonymous said...

Ya biasanya Dunhill atau Winston sponsor. Tahun 1998 ketika meriah dgn zaman Attitude Era WWF Stone Cold dan The Rock siaran di TV3 setiap Rabu jam 10.00 malam ditaja oleh Winston - Pushing the limit

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...