30 July 2012

Siri TV Rumah Kedai (1990)

Pada 27 Mac 1990 bersamaan 1 Ramadan 1410, siri TV Rumah Kedai musim ketiga mula disiarkan oleh saluran TV3. Ia bersiaran mulai pukul 5.30-6.00 petang (Isnin-Jumaat) atau 4.40-5.00 petang (Sabtu-Ahad). Rumah Kedai ialah sebuah rancangan drama bersiri sebanyak 30 episod yang disiarkan khas pada setiap hari dalam bulan Ramadan. Musim pertama rancangan sukaramai itu telah disiarkan pada 1988. Menurut majalah Tele-skop, "siri ini lebih bertemakan soal-soal moral, keagamaan, politik dan keluarga". Pelakon utama Rumah Kedai musim ketiga ialah seperti berikut:

Yusof Mohamad (sebagai Pak Halim)
Kartina Aziz (Mak Lijah)
Sudiro Sukirman (Tapa)
Haron Salim Bachik (Remy)
Rosnah Mohd Aris (Mak Limah)
Zulkifli Zain (Pak Imam)
Aliza Abdul Rafar (Aishah)
Khatijah Tan (Habsah)
Rosnani Yusof (Hanisah)
S. Sachithananthan (Dr. Sham)

Antara penerbit yang menghasilkan Rumah Kedai musim ketiga ialah Faridah Ishak, Ngu Chin Ho, Jefferi Haji Tik, Aidi Fitri Buyung, Megat Saiful Bahari dan Josephine Tan. Manakala penulis skrip pula terdiri daripada M. Jusoff Taib (episod Duit Halal, Duit Khayal), Anwar Idris (Luqothah), Hamidaton Ariffin (Aishah... Aishah), Halim Awang (Orang Sesat), Nurhalim Ismail (Mimpi), Aliah Ahmad (Seberat Mata Memandang), Siti Rohani Ismail (Anak Angkat), Azie M.L (Kunjungan) dan lain-lain.

Sinopsis untuk beberapa episod Rumah Kedai musim ketiga:

Tuah (27 Mac 1990) - 1 Ramadan
Episod pertama bagi musim ini bermula di kawasan baru dan Pak Halim berpindah kerana terjadi pergaduhan dengan tuan punya kedai. Perniagaan Pak Halim bertambah maju sehinggakan Remy merasakan dia patut dilantik sebagai penolong pengurus tetapi cadangan ini dibantah oleh Halijah. Apabila perniagaan Pak Halim begitu baik, Sharif iri hati dan menuduh Pak Halim menggunakan ilmu. Kebetulan pula sewaktu itu perniagaan Sharif semakin malap.

Duit Halal, Duit Khayal (28 Mac 1990)
Apabila suaminya membayar cukai pendapatan secepat mungkin, Mak Lijah mula membebel manakala Tapa dan Remy berangan-angan mereka akan menjadi kaya apabila mereka terasa tapak tangan mereka gatal. Tapa terus menjadi murah hati manakala Remy membeli dua tiket loteri.

Hadiah Istimewa (29 Mac 1990)
Apabila sebuah pasaraya baru dibuka dan menawarkan jualan murah serta hadiah istimewa, Mak Limah mengajak Mak Lijah ke sana. Tapa pula mempunyai cadangan untuk kebaikan Pasar Mini Mesra dengan cara memberi hadiah kepada setiap pelanggan. Secara kebetulan Remy, Tapa dan Mak Lijah terjumpa bungkusan rempah yang disorokkan oleh Pak Halim. Rempah inilah yang mereka hadiahkan kepada pelanggan tanpa mengetahui kenapa bahan itu disorok.

Niat Baik (30 Mac 1990)
Niat baik yang dilakukan oleh Remy dan Tapa berakhir dengan kekecewaan. Seorang rakan datang menemui Remy mahu menumpang tinggal di biliknya untuk sementara. Remy serba salah kerana takut perbuatannya tidak akan disenangi oleh Pak Halim dan Mak Lijah tetapi akhirnya dia membenarkan juga rakannya menumpang. Tetapi rakan ini ternyata tidak boleh diharap. Tapa pula menolong seorang janda yang kemudian ditangkap berkhalwat. Ketika dia menolong janda ini, Tapa banyak menghabiskan wangnya. Akhirnya, apabila Remy dan Tapa begitu kecewa, Pak Halim menasihatkan mereka supaya berhati-hati sebelum membantu seseorang.

Bulan (21 April 1990)
Jusuh menuduh Pak Halim menggunakan duit saham orang kampung untuk membina pasar mini. Di sebabkan bulan puasa, Pak Halim tidak menjawab tuduhan itu dan ini menghairankan Mak Lijah, Remy dan Tapa. Akhirnya terbongkar rahsia yang bendahari koperasi telah menggunakan nama Pak Halim untuk kepentingan dirinya.

Anak Angkat (22 April 1990)
Sham amat gembira apabila Faruk mengamanahkannya untuk memelihara anaknya Nazim. Bagi Faruk, ini dianggap sebagai impian yang menjadi nyata. Bagaimanapun, Hanisah tidak bersetuju dengan cadangan Sham kerana dia tidak diajak berunding terlebih dulu. Abang Faruk (Ganesan) dan emak saudara Nazim, Rogayah, turut menentang rancangan Faruk kerana mereka juga ingin memelihara Nazim.

Kunjungan (23 April 1990)
Mak Limah menjadi syak apabila seorang perempuan muncul untuk bertanyakan mengenai Karim dan perempuan itu pergi secara tergesa-gesa apabila melihat Habsah. Sejak hati itu, keluarga Pak Halim mula diganggu pelbagai perasaan syak wasangka mengenai masa silam Karim. Hanya Pak Halim yang tidak mempunyai buruk sangka terhadap Karim. Siapakah perempuan itu?

Amalan (24 April 1990)
Rostam, yang menyebabkan kematian ibunya, pergi mengembara untuk mencari kedamaian dan pengampunan Allah. Kehadiran Rostam di kampung ini menyedarkan Remy dan Tapa betapa tingginya nilai kasih seorang ibu.

Kata Putus Di Aidilfitri (25 April 1990) - 30 Ramadan
Remy dan Tapa sering bergaduh untuk mendapatkan kuasa mutlak di kedai sepeninggalan Pak Halim dan Mak Lijah ke Makkah nanti. Leha pula sering dipukul oleh suaminya sehingga mukanya lebam-lebam. Bagaimana Pak Halim untuk menggunakan kebijaksanaannya dan menyelesaikan masalah ini?


11 comments:

MFTAQIYUDDIN said...

Nostalgik

Dan terima kasih kerana update blog.

Selamat berpuasa.

khys said...

sama-sama.

akan cuba update lebih banyak bulan depan.

Leesunlay said...

suka betul tgk rumah kedai dulu. keep this blog running admin.. good nostalgic info

hani said...

ada jual vcd dia x? dah lama carik..rindu sgt nak tgk.. kalau ada sy nak beli la..plzzz

khys said...

rasanya zaman vcd dah tamat, tapi boleh la cuba hubungi penerbitnya TV3 utk buat permintaan, mana tau boleh tayang semula pada musim bulan puasa akan dtg

along said...

dulu cerita rumah kedai paling ditunggu di bulan puasa...sgt nostalgia.....rindu memori zaman itu....bestnya kalu ada balik cite ni...

Anonymous said...

Ramadhan 2016 TV3 6:30 petang

Unknown said...

Yes ...zaman ni ...arwah harun salim bachik...muda lagi...kenangan... Darjah 6 waktu ni...Al-Fatihah kpd pelakon yg telah meningal dunia

Unknown said...

Memang ditunggu ...ha ha x nak p pasar ramadhan

Unknown said...

aku msa ni bru darjah 1..igt2 lupa 😅..tp bila tgok blik cita ni..fuhh rsa memori lma tu mai blik..alfatihah bt pklon2 yg dh p mninggalkn kita

Unknown said...

Kalau boleh upload la season yang seterusnya..sangat mengamit kenangan..cerita realiti kehidupan yang sangat meninggalkan kesan.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...