19 May 2011

Malaysian Rockers United vs. Westlife (2002)



Malaysian Rockers United (MRU) ialah nama pasukan bolasepak artis tempatan yang dibarisi oleh para penyanyi dan pemuzik rock, antaranya ialah Edrie Hashim (kapten pasukan), Shah Slam (penyerang utama), Ijam Medicine (penjaga gol, pernah aktif dalam Celebrity F.C pada 1990-an), Bandi Amuk (tetap bertopeng), Man Bai, Ali XPDC, Mie FTG, Black & Eddie Wings dan lain-lain. Pada awal 2000-an MRU aktif mengadakan perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan bolasepak bukan profesional.



Apabila kumpulan penyanyi pop terkenal dari Ireland iaitu Westlife hadir ke Kuala Lumpur untuk mengadakan konsert pada Oktober 2002, MRU telah dijemput untuk menentang pasukan Westlife XI yang dibarisi oleh 5 orang anggota Westlife serta 6 orang pemain tambahan. Dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu (iaitu lokasi konsert Westlife) MRU memakai jersi kuning, warna rasmi pasukan kebangsaan Malaysia, manakala Westlife XI memakai jersi hijau, warna rasmi pasukan kebangsaan Ireland.



Perlawanan bermula pada pukul 9.15 malam dan Westlife XI berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-25 menerusi anggota Westlife iaitu Shane Filan yang memakai jersi nombor 10. Pada minit ke-27 Man Bai dari MRU telah dijatuhkan dalam petak penalti dan MRU berjaya menyamakan kedudukan dengan sepakan penalti oleh Shah Slam. Pada minit ke-32 seorang lagi anggota Westlife iaitu Brian McFadden (kapten pasukan) berjaya menjaringkan gol kedua Westlife XI. Separuh masa pertama diakhiri dengan satu lagi jaringan oleh pasukan Westlife XI dan menjadikan kedudukan 3-1.



Semasa waktu rehat selama 10 minit, para penonton telah dihiburkan dengan persembahan ringkas oleh Ning Baizura. Apabila separuh masa kedua bermula, MRU menjadi semakin hilang tumpuan dan keadaan itu telah membuka peluang kepada Westlife XI untuk menjaringkan sebanyak 4 gol lagi, 2 oleh Brian dan 2 oleh Nicky Byrne yang juga anggota Westlife. Perlawanan berakhir dengan Westlife XI menang dengan kedudukan 7-1, sementara seorang lagi anggota Westlife, Kian Egan diberi gelaran Man Of The Match.

Nota tambahan:
Brian McFadden yang menjaringkan 3 gol telah meninggalkan kumpulan Westlife pada 2004.

2 comments:

ummuhadhra said...

mohon share

khys said...

ok no problem.

*kalau mahu info lain boleh google, sebab cerita ni berlaku dlm zaman internet, rasanya ada laporan lain.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...