27 September 2010

Ganja: Kumpulan Rock Kris ditahan (1993)

Kumpulan rock Kris mungkin merupakan salah sebuah kumpulan muzik paling tidak bernasib baik dalam sejarah muzik tempatan apabila akhbar Utusan Malaysia edisi 5 Ogos 1993 dengan tanpa ragu telah meletakkan tajuk berita paling besar di muka hadapannya iaitu "Ganja: Kumpulan Rock Kris ditahan". Berita tersebut dilaporkan oleh Ahmad Nazri Hashim dan Nazri Nong Samah.

Setelah berakhirnya kemelut artis rock berambut panjang dengan upacara pemotongan rambut Amy Search & Awie Wings di kaca TV pada November 1992, arena muzik rock tempatan baru hendak bangkit semula pada 1993. Tetapi dengan insiden malang yang menimpa kumpulan Kris ini, telah menyebabkan para pemuzik rock tempatan yang rata-ratanya ketika itu mempunyai rambut yang tidak melepasi paras bahu, telah terus menerus dipandang serong walaupun dalam kes ini kumpulan Kris sebenarnya masih belum dibuktikan bersalah. Dalam laporan berita ini ditulis bahawa 6 orang yang menaiki sebuah van telah ditahan di lokap Balai Polis Daerah Tapah kerana disyaki memiliki ganja yang dijumpai di dalam van tersebut. Anggota kumpulan Kris pula hanya terdiri daripada seorang penyanyi dan 3 orang pemuzik.

Nama kumpulan Kris terus berkubur selepas insiden tersebut. Album terakhir mereka berjudul Ratna (1993) terkenal dengan lagu Lagu Cenderawasih.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...